Jika dulu wanita hanya memiliki tiga produk penjagaan wajah utama iaitu pembersih, penyegar dan pelembap. Namun kini semakin banyak produk diperkenalkan menjadikan wanita lebih teruja memastikan kulit dibelai sempurna.
Dalam produk penjagaan wajah, serum di anggap penting kerana mempunyai pelbagai fungsi. Ia berasaskan air dan tidak mengandungi sebarang minyak atau bahan pelembap seperti petroleum yang menjadikannya lebih likat.
Menurut pakar estetik, Dr Abrizah Ousman, serum mengandungi bahan aktif untuk merawat kulit yang lebih tinggi kepekatannya berbanding krim dan losen. Hanya beberapa titik serum (tiga hingga lima titik) sudah cukup memberikan kesan terbaik kepada kulit kerana kepekatan bahan aktif di dalamnya yang tinggi. Oleh itu, serum kebiasaannya lebih mahal daripada losen dan krim.
"Ia lebih mahal kerana mengandungi vitamin C, retinol, antioksida, peptida (asid amino), asid hyaluronic dan asid kojik," katanya.
Fungsi serum kepada kulit bergantung kepada kandungan bahan aktifnya. Antaranya, ia merawat kedutan, jeragat, pigmentasi, antipenuaan, mencerahkan kulit dan antiradang. Jenis serum pula bergantung kepada bahan aktif yang terkandung di dalamnya.
Menurut Dr Abrizah, wanita berusia 18 tahun ke atas dibolehkan memakai serum kerana kebanyakan wanita dalam usia ini sehingga 25 tahun mengalami masalah kulit berminyak dan jerawat.
"Namun saya tidak menasihatkan wanita yang memiliki kulit berminyak menggunakan krim atau losen kerana ia menyebabkan liang pori tersumbat dan jerawat menjadi lebih teruk. Wanita berusia 40 tahun pula digalakkan memakai serum kerana kulit mulai mengering, pigmentasi dan garis halus mula muncul. Namun pemakaian serum bukannya terletak pada umur, tetapi lebih kepada jenis dan masalah kulit.
Tip pemilihan serum:
+Dapatkan nasihat doktor pakar estetik untuk menentukan jenis kulit dan masalah. Doktor akan memberikan nasihat dan pendapat mengenai jenis serum terbaik.
+Cuba serum terlebih dulu pada kawasan kecil di muka untuk memastikan kesesuaian terhadapnya. Jika cairan sesuai, biasanya ia tidak berminyak dan tiada reaksi seperti kemerah-merahan atau gatal.
+Serum harus dipakai selepas mencuci muka dan penyegar iaitu sebelum memakai losen atau krim. Jika sudah memakai losen atau krim, kadar penyerapan serum akan berkurangan kerana bahan pelembap petrolatum dalam losen atau krim sudah menyelaputi permukaan kulit dan menghalang penyerapan serum secara efektif.
+Jika anda mempunya kulit berminyak, serum saja mungkin sudah cukup, tidak perlu krim atau losen.
+Jika pori muka tersumbat dan banyak komedon seperti bintik putih dan bintik hitam, lebih baik lakukan rawatan menggunakan bahan sental dan pengelupasan terlebih dulu supaya serum lebih menyerap ke dalam kulit.
+Wanita berusia 40 tahun ke atas yang berkulit kering dinasihatkan menggunakan gabungan serum dan krim untuk kesan lebih intensif.
+Jika tidak begitu rajin memakainya, banyak langkah penjagaan wajah yang boleh dipilih. Pakai serum pada waktu pagi dan krim atau losen pada waktu malam kerana waktu pagi dan tengah hari kulit kita terdedah pada cahaya matahari terik jadi kulit lebih berminyak.
No comments:
Post a Comment